Wednesday, August 10, 2011

JEMPUTAN KE PERJUMPAAN HARI RAYA AIDILFITRI CUCU PANDAK LEMAN DAN KELUARGA


Semua cucu Al-marhum Tn. Hj. Pandak Leman dan ahli keluarga masing-masing adalah dijemput  hadir ke perjumpaan Hari Raya Aidil Fitri  1432 yang akan diadakan pada:
Tarikh : 2 Syawal 1432 / 31 Ogos 2011 (Hari Rabu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Perkarangan Rumah Cikgu Zuhairi, Kpg Jalan Badak, Jeliang, Manong.
Tentatif Program:
9.00 pagi – Ketibaan Cucu-cucu Pandak Leman dan keluarga masing-masing
                   -  Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
                  -  Majlis Tahlil dihadiahkan kepada nenda, ayahanda, bonda dan saudara yang
                     telah meninggal dunia
                  -  Ucapan-ucapan
                  - Jamuan hari raya
                 - Bergambar kenangan beramai-ramai.
                 - Bersurai.
Harapan saya agar semua cucu Almarhum Tn. Hj. Pandak Leman dapat melapangkan masa untuk menghadiri perjumpaan ini…. Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Sunday, August 7, 2011

Sejarah Kehidupan Ayahanda Saya

( Baru-baru ini seorang adik saya memberi saya satu catatan tulisan tangan almarhum ayahanda saya. Beliau menjumpai catatan itu  di bilik almarhum ayahanda saya.  Catatan bertulisan jawi setebal enam muka surat itu rupanya adalah catatan sejarah hidup ayahanda saya yang saya fikir sangat tinggi nilainya. Tidak ramai orang di dunia ini  yang mampu menulis sejarah hidup sendiri untuk dikongsikan dengan anak-anak dan masyarakat sekelilingnya. Berikut saya salin semula catatan itu untuk tatapan kita semua….)   

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Pada tanggal 3 September 1928 waktu subuh hari Jumaat lahir seorang kanak-kanak lelaki bernama Zakaria bin Pandak Leman dan ibunya Teh Fatimah di sebuah kampung  tepi sungai Perak iaitu kampung Teluk Manis, Layang-layang Kiri, Parit,  Perak. Beliau adalah anak yang kelima dari enam beradik (ketiga yang masih hidup).
Di waktu kecilnya, ayahandanya meneroka tanah di Jeliang, Manong, Kuala Kangsar, yang senantiasa berulang alik dari kampung Teluk Manis ke Jeliang itu lebih kurang perjalanan 20 batu dengan menaiki sebuah basikal.
Di masa beliau berumur 7 tahun iaitu tahun 1936, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Layang-layang Kiri.  Pada tahun 1937, beliau telah dibawa oleh bapanya berpindah ke Jeliang dan beliau bersekolah di Sekolah Melayu Manong lebih kurang 3 batu jauhnya dari kampung Jeliang.  Di sekolah itu beliau belajar dalam darjah 2 sehingga tamat darjah 6 pada akhir tahun 1941. Beliau ke sekolah itu menaiki basikal, turun pagi balik jam 5.00 petang.
Di sekolah ini beliau mendapat sijil, sekolah pagi “nombor satu” sijil darjah lima dan darjah enam dan sekolah petang (sekolah Quran) pun dapat sijil “nombor satu”.  Manakala tamat mengaji, beliau memohon jawatan guru pelatih, tetapi malangnya belum pun ada jawapan dari pihak berkuasa, negara telah meletus peperangan dengan tentera Jepun (peperangan dunia yang kedua).
Dalam masa pemerintah Jepun itu, pada tahun 1943 beliau masuk belajar agama di sekolah Arab (Al-Madrasah Al-Idrisiah) Bukit Chandan, Kuala Kangsar, duduk di asrama sekolah itu. Yang mana Mudir (Guru Besarnya)  ialah alfadhil Assheikh Abdullah Fahim. Pada awalnya, belajar di bangunan al Madrasah Al-Idrisiah itu satu tahun lebih, kemudian tentera Jepun menggunakan sekolah  itu menempatkan buruh-buruhnya,  maka berpindah belajar di sekolah Al-Madrasah Mariah dekat dengan bangunan Madrasah  Idrisiah itu juga dan pelajar terpaksa duduk di berek Al-Madrasah Mariah, belajar di situ lebih kurang  setahun.  Kemudian tercetus pergaduhan kerajaan Jepun dengan komunis, dan komunis dengan orang ramai (kampung) diisytiharkan masa darurat.
Guru-guru yang mengajar beliau di Madrasah Idrisiah ialah (1) Assheikh Abdullah Fahim, (2) Al-ustaz Uthman Sujak, (3) Al-ustaz Nawawi dan (4) Al-ustaz Yusuf.  Beliau belajar membaca Al Quran kepada Tuan Haji Ahmad al Banat,  imam masjid Ubudiah Bukit Chandan.
Di awal tahun 1945 semasa kerajaan Jepun menyerah kalah kepada kerajaan Inggeris, komunis mendirikan kerajaannya selama 14 hari.  Keadaan Negara amat susah dharurat.  Kami, Ustaz Uthman bin Itam Karib, Ustaz Mokhtar al Ataruddin Lebai Awang, Abdul Aziz dan Zakaria bin Sulaiman pergi meninggalkan kampung hendak belajar di pondok Batu Hampar, Pendang, Kedah.  Perjalanan kami adalah menjadi catatan riwayat yang tak boleh dilupakan, iaitu menaiki keretapi dari Kuala Kangsar menumpang keretapi yang membawa tentera-tentera Jepun sampai ke Bukit Mertajam. Di sana kami bermalam 4 hari 4 malam di surau dan kami pergi menziarahi rumah AsSheikh  Yamani dan AsSheikh Ahmad Fuad Hassan lebih kurang 4 batu dari bandar Bukit Mertajam itu.
Dari situ kami menaiki lori sewa ke Kota Sarang Semut Kedah.  Dari Kota Sarang Semut itu kami berjalan kaki ke Pendang terus ke pondok Batu Hampar lebih kurang 7 batu.
Di pondok Batu Hampar ini saya belajar selama 2 tahun kepada Tok Guru Hj. Abdul Aziz bin Hj. Ibrahim. Di dalam masa  dua tahun ini kami pernah keluar dari pondok mencari nafkah kerana perbelanjaan dari kampung  tak sampai.
Ceritanya:, Pada satu hari kami bersetuju pergi ke Kota Setar (Alor Setar) hendak mencari kerja yang halal di bandar itu. Kami seramai 5 orang iaitu, Ustaz Uthman Karib, Ustaz Mokhtar, Abdul Aziz, Zakaria dan Anuar budak Selangor, minta izin kepada Tok Guru hendak keluar pondok itu. 
Jam 8.00 pagi kami berjalan kaki menuju Alor Setar sejauh 20 batu.  Pada malam itu kami tak sampai ke bandar Alor Setar itu, hanyalah kami sampai ke Simpang Kuala Kedah, kami bermalam di situ, di masjid. Keesokan harinya kami berjalan lagi lebih kurang 4 batu menuju Masjid Zahir Alor Setar. Di situ kami berjumpa dengan Imam Besar Masjid Zahir itu berbangsa Arab.  Dan kami menceritakan kepadanya akan tujuan kami kalau-kalau ada tempat orang fakir miskin dekat situ.
Alhamdulillah, beliau berikhtiar berurus dengan sahabat-sahabatnya di Pejabat Daerah Alor Setar. Setelah selesai urusan-urusan yang berkenaan, kami diserahkan kepada balai polis, suruh menghantar kami di satu tempat orang fakir miskin Seberang Perak lebih kurang 2 batu dari bandar Alor Setar itu.  Kami duduk di situ selama sebulan setengah bersama dengan pengemis. Panjang ceritanya, biarlah tinggal dalam kenangan sahaja.
Kemudian kami dihantar ke Jitra untuk dihantar balik ke Ipoh. Di Jitra ini kami duduk seminggu sahaja.  Manakala sampai di Ipoh saya dapat khabar ayahanda bonda saya ada di Telok Manis Layang-layang Kiri kerana lari dari komunis di Jeliang yang sentiasa mengganas, membunuh, menyamun dan lain-lain kejahatan.
Pada tahun 1946, saya balik belajar di Pondok Batu Hampar setelah negara aman sedikit.  Pada tahun 1947 saya pergi pindah belajar di Pondok Ahmadiah, Benut Payung, Kota Bharu Kelantan.  Gurunya ialah AsSheikh Haji Abdullah AtThohir bin Ahmad. Saya belajar di sini  selama lapan tahun iaitu sehingga tahun 1954.
Di masa belajar di Kelantan ini bermacam-macam riwayat, pahit manis yang dirasai, almaklumlah saya orang miskin dan di zaman dharurat di sana sini bergaduh komunis.   Dalam masa di Kelantan ini pada tahun 1952 saya bersama Mokhtar bin Hj Ahmad Badawi dan Abdul Razak Uthman pergi merantau ke Batu Pahat Johor ke rumah Kiyai Hj Solleh di kampung Simpang Kiri dekat Yong Peng. Di situ kami mengaji wakaf Quran bulan Ramadhan.  Selama di sini kami dapat menimba  beberapa ilmu berkenaan peperangan parang panjang dengan kafir.
Kami duduk di Johor ini selama dua bulan dan kami meneruskan perjalanan ke Singapore.  Kami duduk di sini selama seminggu di rumah Ustaz  Daud. Kami balik ke Kelantan menaiki kapal kecil dari Singapore ke Kuala Terengganu.  Dari Kuala Terengganu menaiki bas ke Kota Bharu.
Akhir tahun 1954 saya balik ke Jeliang (berhenti mengaji di Kelantan) bercita-cita hendak pergi ke Bukit Tinggi, Sumetera,  Indonesia. Tetapi malang visa tak dapat  kebenaran. 
Pada tahun 1955 saya pergi ke Makkatul Mukarromah kerana tujuan belajar di sana selama 5 tahun. Tetapi malangnya mulai pada tahun itu selepas mengerjakan haji, kerajaan Saudi tak membenarkan sesiapa jua bernaung di Makkah kerana kerajaan Saudi hendak membesarkan binaan Masjidil Haram, maka rumah-rumah di sekeliling bandar Makkah itu akan roboh, saya balik ke Malaya.
Pada awal tahun 1956 saya pergi belajar di Pondok Irsyadiyah Batu 26, Bagan Datoh, Perak buat sementara menanti mendapat visa pergi ke Indonesia, tetapi malang  juga telah beberapa lama menunggu tidak juga mendapat kelulusan.  Selama tujuh bulan di Irsyadiyah itu maka saya pun balik ke kampung.  Guru di Irsyadiyah ialah Tuan Guru Hj. Ghazali bin Irsyad.
Di kampung, membuat (membina) sebuah rumah kayu dua tingkat tukang sendiri.  Di sebelah petang mengajar kanak-kanak di kampung itu didirikan sebuah surau (kelas) dekat surau Jalan Badak. Pelajar-pelajarnya berjumlah 30 orang.
Di awal tahun 1957 dengan persetujuan pemimpin kampung Jeliang dan kampung-kampung berhampirannya maka dipindahkan tempat belajar itu di sebuah surau dekat masjid Jeliang dibuat sebagaimana Sekolah Agama Rakyat dengan lebih seratus pelajar dan 3 orang guru.  Sekolah itu dinamakan Al Madrasah Al Hidayah Al Islamiah. Pada tahun 1961 sekolah ini dibuat baru di kampung Jalan Badak dan tetekala siap maka semua pelajar dipindah ke situ. Saya Hj Zakaria sebagai Guru Besar (Mudir).
Pada 5.8.1958 mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bekas pelajar Madarasah Al-Ihya As-Sharif  Semanggol, duduk di Kampung Simpang Lawin, Talang, Kuala Kangsar bernama Anisah binti Hj. Othman.
 Kami telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala 10 orang anak iaitu lima lelaki dan lima perempuan, iaitu:
1. Ahmad Zuhairi              2. Mohd Faisal @ Ahmad Zahari       3. Noor Huda     
4. Wardah          5.  Muhsinuddin              6. Husnul Khatimah       7. Mohd Kamalul Abrar   8. Syamsyidar      9. Asyirah          10. Ihsan Busyro.
(Pada masa surat ini ditulis semua anak-anak ini telah bekerja dan berkahwin dan mempunyai anak-anak.  Alhamdulillah.)
Masa di kampung aktiviti saya pada waktu pagi mengajar orang perempuan di surau dan masjid sekeliling dan bekerja menoreh getah dan berkebun dan lain-lain. Pada waktu petang mengajar di Madrasah Al Hidayah Al Islamiah Jeliang dan menjadi imam di Masjid Al Khairiyah Jeliang selama 40 tahun sehingga akhir tahun 1993.
Mulai tahun 1994 membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama di Kampung Jalan Badak diberi nama Al Maahad Al Mizan dan mengajar di situ sebagai pengetua sekolah itu sehingga tahun 2001. Dan menjadi tenaga pengajar sehingga awal tahun 2006 dan bersara dari sekolah ini.
Selepas itu saya mengajar sedikit-sedikit di Pondok Al Ridzuan, pusat pengajian pondok yang dibangunkan di kampung Jalan Badak juga. (Pondok ini ialah untuk orang tua lelaki dan perempuan).
( Sekian,  Semoga Allah mencucuri Rahmat dan KeredhaanNya kepada roh almarhum ayahanda saya, Amin!)




Friday, August 5, 2011

Rumah emak dibaik pulih

 
Mulai pertengahan Julai yang lepas, kerja-kerja membaik pulih rumah emak saya telah dimulakan oleh En. Zaini b Shaharom dari kampung Semat.  Rumah ini memang sudah agak uzur terutama di bahagian dindingnya.

Saya rasa terpanggil untuk membaik pulih dinding rumah ini kerana sayangkan rumah tersebut, di mana rumah ini sudah sangat berjasa kepada kami sekeluarga. Rumah itu sebenarnya juga adalah peninggalan almarhum nenda kami Tn Hj Pandak Leman sebelum diduduki dan dibesarkan oleh almarhum ayahanda saya Tn Hj Zakaria.
Berikut adalah gambar-gambar  bahagian rumah ini sebelum dibaik pulih.



Manakala gambar-gambar di bawah pula adalah keadaan rumah sedang dalam proses baik pulih. Lihatlah pintu belakang rumah juga dipindahkan ke tempat lain yang lebih strategic. 



Walaupun rumah ini telah diwasiatkan kepada salah seorang adik saya,  namun Insya-Allah rumah ini akan menjadi tempat berkumpulnya semua kami adik beradik dan keluarga kami apabila adik-adik saya balik ke kampung.  Ingatkan kenangan manis kita bersama-sama makan beramai-ramai di rumah ini apabila balik  ke rumah ayah dulu.



Tuesday, August 2, 2011

Dua beradik yang sangat rapat....

Saya ingin mencatatkan dalam ‘post’ kali ini tentang perihal almarhum ayahanda saya dan almarhum bapa saudara saya yang kedua-duanya telah kembali ke RahmatulLahi Taala baru-baru ini.
Sebenarnya ayahanda saya Tn Hj Zakaria  adalah anak yang ketiga dan yang bungsu dalam keluarga nenda saya Tn Hj Sulaiman dengan  Hjh Teh  Fatimah.  (Keluarga ini mempunyai tiga orang  anak yang kesemuanya adalah lelaki dan seorang lagi anak angkat perempuan).  Manakala bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz adalah adalah anak kedua atau yang tengah. Sebab itu anak-anak saudara mereka  memanggil ayahanda saya sebagai “ayah cu” dan memanggil bapa saudara saya itu sebagai “ayah ngah”. Seorang lagi bapa saudara saya iaitu yang tua ialah Tn Hj Mahyuddin di panggil “ayah we”.
Kedua-dua ayahanda saya dan ‘ayah ngah’ saya agak banyak persamaan berbanding abang mereka yang sulung atau “ayah we” saya.  Ini kerana mereka berdua merupakan guru “Sekolah Arab” manakala “ayah we” saya adalah guru agama di sekolah kebangsaan.
Ayahanda saya menubuhkan “Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Arab”  di kampung Jeliang ini pada tahun 1956 sebaik sahaja balik dari Makkah sebagaimana saya ceritakan dalam “posting” yang lepas.  “Orang kanan” atau orang kuatnya yang mentadbir sekolah yang bernama “Madrasah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang” ini adalah abangnya sendiri iaitu ayah ngah saya.  Mereka berdua inilah yang menjadi Mudir dan Timbalan Mudir sekolah ini sejak penubuhannya pada tahun 1956 sehinggalah ke tahun 1995 iaitu kira-kira hampir 40 tahun lamanya.  
Pada tahun 1995  ayah ngah saya mengambil alih jawatan Mudir kerana  ayahanda saya membuka dan mengasaskan ‘Sekolah Arab Menengah’  di kampung ini yang diberi nama Sekolah Menengah  Agama Hidayah Islamiah Kampung Jeliang,  yang kemudian ditukar namanya kepada SMA Maahad Al Mizan. 

 
Gambar yang bersejarah ini diambil dalam tahun 1961 semasa suatu ‘majlis’ di Sekolah Agama Rakyat Hidayah Islamiah Kampung Jeliang.  Lihatlah betapa ramai anak-anak murid sekolah ini pada masa itu.  Kanak-kanak kecil  yang  berdiri di samping ayahanda saya itu adalah saya sendiri. Masa itu saya baru berumur 2 tahun…
 
Gambar yang dibesarkan… di sebelah kanan ayahanda saya ialah bonda saya yang juga salah seorang tenaga pengajar di situ, dan di sebelah kiri ayahanda saya ialah ayah ngah saya selaku timbalan mudir.
Apa yang saya nak kongsikan dalam ‘post’ ini bukanlah sekadar nak tunjukkan gambar lama itu, tetapi nak kongsikan tentang satu  sifat yang saya rasa amat istimewa yang ada pada ayahanda saya dan bapa  saudara itu.
 Ayahanda dan ayah ngah saya semasa hayatnya mempunyai banyak persamaan. Pertama mereka berdua sebagai guru agama di  ‘sekolah arab’.  Sekolah ini beroperasi pada sebelah petang. Jadi di sebelah pagi, mereka berdua adalah bekerja sendiri sebagai pekebun, penoreh getah, pesawah  dan sebagainya.  Sebagai pekebun mereka selalu berkebun bersama-sama di tanah yang diberi oleh nenda saya atau di tanah yang mereka beli sendiri.  Begitu juga semasa bersawah padi, mereka selalu menjayakan sawah padi itu bersama-sama.  Saya masih ingat semasa saya kecil dulu akan keseronokan bersawah padi di sawah di bendang Pulau Jitan Lempor.  Bendang ayahanda saya dan bendang bapa saudara letaknya bersebelahan saja.
Kedua-dua ayahanda dan bapa saudara ini adalah guru agama bertauliah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Jadi pada sebelah malam atau hari cuti hujung minggu, mereka akan mengunjungi masjid dan surau untuk mengajar masyarakat akan ilmu-ilmu Islam.  Apabila ada kursus atau mesyuarat samada di Kuala Kangsar atau di Ipoh, mereka berdua akan pergi bersama-sama.  Sama-sama akan pergi dengan menaiki bas Wai Thung!  Duduk sebelah menyebah… Apa yang menarik, perawakan mereka berdua juga hampir sama.  Kedua-duanya sentiasa berserban dan berkain pelaikat.
Ada orang memberitahu saya, mereka tak pernah melihat dua orang adik beradik yang begitu baik dan rapat satu sama lain seperti ayahanda dan bapa saudara saya.  Mereka selalu pergi ke mana-mana  berdua.  Hubungan yang begitu rapat inilah yang nak saya kongsikan dengan rakan-rakan semua.  Kalau kita bandingkan pada hari ini ada orang adik beradik yang tak bertegur sapa atau ada orang adik beradik tetapi hubungannya agak renggang.  Malahan orang itu lebih rapat dengan kawan-kawan lain berbanding dengan adik beradik sendiri.   
Semoga kita dan adik beradik kita akan menjadi adik beradik yang sentiasa berbaik sangka dan bersatu hati dalam banyak hal seperti halnya   ayahanda dan bapa saudara saya ini.   Saling bekerja sama dan mempunyai hubungan yang sangat baik antara  satu sama lain. WalLahu Aklam…
Gambar ayah dan ayah ngah ini saya ambil pada 18 April 2011  iaitu pada masa kami menziarahi ayah ngah di Wad Paliatif Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.
Allah SWT Maha Berkuasa Atas segala hamba-hambaNya! Ayah menyahut panggilan Ilahi pada 9 Jun 2011, manakala ayah ngah pada 24 Jun 2011....



Ayah ngah dalam kenangan

Lima belas hari selepas ayahanda saya meninggal dunia, bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz b Hj Sulaiman pula menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal adalah pada 24 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat iaitu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari di hospital daerah Kuala Kangsar. Beliau yang berumur 84 tahun telah lama terlantar akbibat sakit kanser meninggalkan seorang isteri, sepuluh orang anak, 50 cucu dan beberapa orang cicit. Jenazah beliau selamat disemadikan pada hari yang sama di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang iaitu bersebelahan dengan kubur cucundanya Abdul Fatah yang meninggal akibat kemalangan jalanraya dua bulan sebelumnya.

Bapa saudara saya ini lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Bedul juga merupakan seorang guru agama di sekolah agama rakyat Jeliang pada masa sihatnya. Beliau semasa hayatnya menjadi Penolong Pendaftar Nikah atau Naib Kadi bagi kariah Jeliang, Lempor, Ara Panjang dan Guar selama hampir 30 tahun. Boleh dikatakan orang-orang muda yang nak mengahwini anak-anak gadis dari 4 kampung ini akan mengenali beliau terutama selepas disoal balas di majlis akad nikah tersebut…



Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ‘ayah ngah’ saya ini, Amin!

Monday, August 1, 2011

Ayahanda yang dikasihi...

Al-Fatihah untuk ayahanda yang dikasihi…
Hari Khamis  9 Jun 2011 bersamaan 7 Rejab 1432H adalah satu tarikh yang tak dapat saya lupakan.  Ini kerana pada tarikh itu  ayahanda saya yang dikasihi Tn Hj Zakaria b Hj Sulaiman telah kembali ke RahmatuLlah pada kira-kira jam 8.30 pagi.  Almarhum ayahanda meninggal dunia setelah tidak sihat selama beberapa hari sebelum itu.  Almarhum  ayahanda menyahut panggilan Ilahi pada usia 82 tahun.   Almarhum meninggalkan bonda yang dikasihi, kami 10 beradik dan 42 orang cucunda. Ayahanda selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Pada saya, ayahanda yang dikasihi  adalah seorang yang sangat berjasa khususnya kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekeliling kami umumnya.  Kalau boleh saya menceritakan,  sejak dari mudanya, ayahanda adalah seorang yang sangat suka menuntut ilmu terutama ilmu Agama.  Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau belajar di sekolah pondok  di Benut Payung Kelantan dan juga  di Kedah Darul Aman.  Hajat beliau untuk menyambung pelajaran di Makkah al Mukarramah tidak kesampaian apabila sesampainya beliau di sana pada tahun 1955 telah berlaku keadaan ‘tegang’  dan peperangan antara Negara-negara Arab dan Israel menyebabkan rakyat negara luar tidak dibenarkan berada di negara tersebut.
Apabila ayahanda balik dari Makkah itu, beliau telah mendirikan rumah tangga pada usia 3o tahun dan membuka Sekolah Agama Rakyat di Kampung Jeliang ini bagi meneruskan perjuangannya menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.  Walaupun pada masa itu terdapat berbagai tawaran untuk beliau berkhidmat dengan kerajaan seperti  menjadi Kadi dan guru agama, namun ayahanda lebih berminat untuk membuka sekolah agama dalam visinya menyampaikan risalah dan dakwah Islamiah kepada masyarakat di samping bekerja sendiri untuk menyara diri dan keluarganya.
Begitulah kehidupan ayahanda yang dikasihi, pada sebelah pagi beliau menjadikan kebun dan sawah sebagai tempat perjuangannya, sebelah petang beliau akan meneruskan tugas mendidik anak bangsa mengenal agama Islam yang suci di ‘Sekolah Arab’nya  dan sebelah malamnya pula beliau akan mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau bagi menyampaikan ilmu  agama kepada masyarakat kerana beliau dilantik sebagai Guru Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Selain itu ayahanda merupakan imam di masjid dan merupakan pakar rujuk berkaitan ilmu agama kepada  masyarakat sekeliling.
Perjuangan ayahanda  di sekolah agama rakyat yang dikenali  juga Madarsah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang selama hampir 40 tahun itu diteruskan pula di SMA Maahad Al-Mizan apabila sekolah al Mizan itu ditubuhkan pada tahun 1995.  Ayahanda menjadi pengasas dan pengetuanya yang pertama.  Waktu itu ayahanda saya sudah pun berusia 67 tahun, namun perjuangannya sukar ditandingi. Segala perit getir  dilalui dengan tabah. Beliau bukan sahaja sebagai pengetua tetapi juga sebagai ‘tukang kebun’, ‘pencuci bilik air’ atau apa sahaja tugas yang perlu yang mampu dilakukan bagi ‘menghidupkan’ sekolah menengah agama itu pada peringkat awalnya.  Saya masih ingat, mana ada pengetua yang ‘gaji’nya lebih rendah berbanding guru-guru-guru biasa di sekolahnya.  Tetapi itu ada pada yang dikasihi ayahanda saya.  Beliau membayar gaji guru melebihi gajinya sendiri semata-mata kerana hendakkan guru-guru muda itu kekal mengajar di situ. Namun segala kesusahan dan ‘pahit maung’  beliau terubat apabila orang ramai dan masyarakat luar terus memberi  sokongan dengan memberi  bantuan kewangan termasuk membeli ‘wakaf kaki’  dan menghantar anak-anak untuk belajar  ke sekolah tersebut. 
Ayahanda saya meletakkan jawatan sebagai pengetua pada tahun 2001 apabila beliau merasa tidak mampu meneruskan tugas yang sangat mencabar itu berbanding usianya.  Lagi pun beliau sudah nampak penggantinya iaitu al fadzil ustaz Hj  Megat Radzuan yang baru bersara dari jawatan kerajaan pada masa itu. Selepas itu, ayahanda masih menerus tugas  sebagai seorang guru biasa di sekolah tersebut sehinggalah pada tahun 2003.  Selain daripada itu ayahanda meneruskan tugas  dakwahnya  dan memimpin orang ramai  mengenali  ilmu Islam apabila beliau menjadi  salah seorang tenaga pengajar di Pondok AlRidzuan Kpg Jalan Badak dan juga mengajar di masjid Jeliang sehinggalah ke akhir hayatnya.
Sesungguhnya saya sangat berbangga mempunyai seorang ayahanda seperti beliau.  Beliau merupakan seorang yang tegas tetapi sangat menyayangi anak-anaknya. Kesemua kami diberi pendidikan  yang secukupnya setakat mana yang kami mampu.  Tidak pernah ada alasan ‘tidak ada duit’ untuk belajar. Pergilah menuntut ilmu setakat mana kami nak pergi.  Beliau akan sentiasa mengusahakan mengikut kemampuannya. AlhamduliLlah berkat dari usaha dan doanya, tujuh dari sepuluh orang anaknya ‘graduat’ dari universiti-universiti tempatan.  Beliau tidak meninggalkan harta yang banyak, tetapi beliau meninggalkan anak-anaknya yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan….
Antara kenangan manis kejayaan ayahanda saya yang dapat saya rasakan adalah apabila beliau dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal  Hijrah Negeri Perak pada tahun 1999.  Majlis diadakan di dewan banquet bangunan Kerajaan Negeri Perak dan anugerah itu disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perak.  Gambar di bawah kenang-kenangan sewaktu saya mengiringi ayahanda ke dewan banquet itu.




Saya masih teringat satu ucapan ayahanda  di majlis perpisahannya  di Maahad Al Mizan pada tahun 2003, bahawa sebiji kelapa tua, kalau dimakan akan memberi  santan yang pekat dan berkhasiat, dan kalau ditanam akan menjadi benih dan akan tumbuh sebagai pokok baru yang subur, dan kalau boleh beliau nak menjadi seumpama ‘kelapa tua’ yang banyak menafaatnya kepada manusia keseluruhannya itu. Dengan kata lain, hidup kita ini biarlah banyak membuat jasa dan berguna kepada orang orang lain.   Alhamdulillah,  ayahanda telah pun dapat memberi  sumbangan yang besar kepada ahli keluarganya dan memberi menafaat kepada masyarakat sekelilingnya.
Sekarang apabila ayahanda saya sudah tiada, saya sangat ‘terasa sayu’… lebih-lebih lagi apabila ketika pergi solat Jumaat ke masjid.  Memang telah menjadi kebiasaan saya sejak lebih 10 tahun ini, saya akan mengambil beliau untuk bersolat Jumaat di masjid dan menghantarnya ke rumah semula selepas solat itu. Tetapi sekarang saya akan keseorangan tanpa beliau di sebelah untuk solat ke masjid itu…
Semoga Allah SWT melimpahkan Keredhaan dan Syurga Nya kepada Roh ayahanda yang dikasihi, Amin ya Rabbul Alamin!



Keratan Akhbar ... berita Arwah Abdul Fatah


Klik pada imej untuk membaca berita dengan lebih jelas....




Bayi Terselamat - Tercampak Keluar Dari Kereta

KM 290
Lebuhraya Utara Selatan
Simpang Pulai, Perak
13 Mei 2011

Walaupun tercampak keluar beberapa meter dari kereta yang dinaiki setelah terbabit dalam kemalangan, nyawa bayi ini masih panjang.
Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli, 3 bulan, yang terlepas dari dakapan ibunya, ditemui menangis di atas jalan raya sebelum dihantar segera ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Dia mengalami keretakan kecil di belakang kepala selain luka ringan di dahi.
Ketika kejadian, ibu mangsa, Suriani Abdul Latif, 31, cedera parah , manakala adik Suriani, Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang memandu kereta , maut di tempat kejadian.
Kemalangan kira-kira 9 malam dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Abdul Fatah gagal dikawal sebelum terbabas melanggar besi penghadang tepi lebuh raya.
Sebelum itu, Abdul Fatah, kerani di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim, mengambilnya di rumah di Bukit Beruntung, Selangor, untuk pulang ke kampung  di Manong, Kuala Kangsar.


Suriani hanya tersedar pagi ini di katil hospital dengan keadaan kulit kepala terkoyak dan mulut pecah.
Anaknya , Nik Fawas Iskandar Mohd Fazli, 5, ketika itu duduk  di bahagian belakang ,patah kaki kiri dan retak belakang tempurung kepala menyebabkan ada pendarahan dalaman.
Suami mangsa, Nik Mohd Fadhli Nik Mohd Hasnuddin, 33, yang sedang menjalani kursus di Kem Sungai Udang Melaka.dimaklumkan  kemalangan itu oleh seorang anggota polis trafik Ipoh kira-kira  10 malam dan bergegas ke Ipoh
Dua lagi anaknya, Nik Nur Farah Aliya , 4, dan Nik Nur Farahana, 2, bagaimanapun terselamat berikutan berada di kampung.
Pic – Jamil

Abdul Fatah Kemalangan

Pemandu maut, 3 termasuk bayi cedera dalam kemalangan


2011/05/14

IPOH: Seorang maut manakala tiga lagi termasuk seorang bayi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 290 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Simpang Pulai di sini malam tadi.

Pemandu kereta terbabit, Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang bertugas di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Mereka yang cedera parah ialah kakak Abdul Fatah iaitu Suriani, 31, dan dua anaknya iaitu Nik Fawas Mohd Fazli, 5, dan Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli, tiga bulan.
Kesemua mereka dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala seorang lagi anak perempuan Suriani berusia dua tahun yang turut berada dalam kereta itu tidak cedera, kata Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 9 malam tadi itu, Suriani dan anak-anaknya menumpang kereta adiknya untuk pulang ke rumah mereka di Manong, Kuala Kangsar.

Kereta jenis Honda Civic yang dipandu Abdul Fatah dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Kangsar itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkan kenderaan itu remuk, katanya.- BERNAMA