Tuesday, August 2, 2011

Dua beradik yang sangat rapat....

Saya ingin mencatatkan dalam ‘post’ kali ini tentang perihal almarhum ayahanda saya dan almarhum bapa saudara saya yang kedua-duanya telah kembali ke RahmatulLahi Taala baru-baru ini.
Sebenarnya ayahanda saya Tn Hj Zakaria  adalah anak yang ketiga dan yang bungsu dalam keluarga nenda saya Tn Hj Sulaiman dengan  Hjh Teh  Fatimah.  (Keluarga ini mempunyai tiga orang  anak yang kesemuanya adalah lelaki dan seorang lagi anak angkat perempuan).  Manakala bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz adalah adalah anak kedua atau yang tengah. Sebab itu anak-anak saudara mereka  memanggil ayahanda saya sebagai “ayah cu” dan memanggil bapa saudara saya itu sebagai “ayah ngah”. Seorang lagi bapa saudara saya iaitu yang tua ialah Tn Hj Mahyuddin di panggil “ayah we”.
Kedua-dua ayahanda saya dan ‘ayah ngah’ saya agak banyak persamaan berbanding abang mereka yang sulung atau “ayah we” saya.  Ini kerana mereka berdua merupakan guru “Sekolah Arab” manakala “ayah we” saya adalah guru agama di sekolah kebangsaan.
Ayahanda saya menubuhkan “Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Arab”  di kampung Jeliang ini pada tahun 1956 sebaik sahaja balik dari Makkah sebagaimana saya ceritakan dalam “posting” yang lepas.  “Orang kanan” atau orang kuatnya yang mentadbir sekolah yang bernama “Madrasah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang” ini adalah abangnya sendiri iaitu ayah ngah saya.  Mereka berdua inilah yang menjadi Mudir dan Timbalan Mudir sekolah ini sejak penubuhannya pada tahun 1956 sehinggalah ke tahun 1995 iaitu kira-kira hampir 40 tahun lamanya.  
Pada tahun 1995  ayah ngah saya mengambil alih jawatan Mudir kerana  ayahanda saya membuka dan mengasaskan ‘Sekolah Arab Menengah’  di kampung ini yang diberi nama Sekolah Menengah  Agama Hidayah Islamiah Kampung Jeliang,  yang kemudian ditukar namanya kepada SMA Maahad Al Mizan. 

 
Gambar yang bersejarah ini diambil dalam tahun 1961 semasa suatu ‘majlis’ di Sekolah Agama Rakyat Hidayah Islamiah Kampung Jeliang.  Lihatlah betapa ramai anak-anak murid sekolah ini pada masa itu.  Kanak-kanak kecil  yang  berdiri di samping ayahanda saya itu adalah saya sendiri. Masa itu saya baru berumur 2 tahun…
 
Gambar yang dibesarkan… di sebelah kanan ayahanda saya ialah bonda saya yang juga salah seorang tenaga pengajar di situ, dan di sebelah kiri ayahanda saya ialah ayah ngah saya selaku timbalan mudir.
Apa yang saya nak kongsikan dalam ‘post’ ini bukanlah sekadar nak tunjukkan gambar lama itu, tetapi nak kongsikan tentang satu  sifat yang saya rasa amat istimewa yang ada pada ayahanda saya dan bapa  saudara itu.
 Ayahanda dan ayah ngah saya semasa hayatnya mempunyai banyak persamaan. Pertama mereka berdua sebagai guru agama di  ‘sekolah arab’.  Sekolah ini beroperasi pada sebelah petang. Jadi di sebelah pagi, mereka berdua adalah bekerja sendiri sebagai pekebun, penoreh getah, pesawah  dan sebagainya.  Sebagai pekebun mereka selalu berkebun bersama-sama di tanah yang diberi oleh nenda saya atau di tanah yang mereka beli sendiri.  Begitu juga semasa bersawah padi, mereka selalu menjayakan sawah padi itu bersama-sama.  Saya masih ingat semasa saya kecil dulu akan keseronokan bersawah padi di sawah di bendang Pulau Jitan Lempor.  Bendang ayahanda saya dan bendang bapa saudara letaknya bersebelahan saja.
Kedua-dua ayahanda dan bapa saudara ini adalah guru agama bertauliah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Jadi pada sebelah malam atau hari cuti hujung minggu, mereka akan mengunjungi masjid dan surau untuk mengajar masyarakat akan ilmu-ilmu Islam.  Apabila ada kursus atau mesyuarat samada di Kuala Kangsar atau di Ipoh, mereka berdua akan pergi bersama-sama.  Sama-sama akan pergi dengan menaiki bas Wai Thung!  Duduk sebelah menyebah… Apa yang menarik, perawakan mereka berdua juga hampir sama.  Kedua-duanya sentiasa berserban dan berkain pelaikat.
Ada orang memberitahu saya, mereka tak pernah melihat dua orang adik beradik yang begitu baik dan rapat satu sama lain seperti ayahanda dan bapa saudara saya.  Mereka selalu pergi ke mana-mana  berdua.  Hubungan yang begitu rapat inilah yang nak saya kongsikan dengan rakan-rakan semua.  Kalau kita bandingkan pada hari ini ada orang adik beradik yang tak bertegur sapa atau ada orang adik beradik tetapi hubungannya agak renggang.  Malahan orang itu lebih rapat dengan kawan-kawan lain berbanding dengan adik beradik sendiri.   
Semoga kita dan adik beradik kita akan menjadi adik beradik yang sentiasa berbaik sangka dan bersatu hati dalam banyak hal seperti halnya   ayahanda dan bapa saudara saya ini.   Saling bekerja sama dan mempunyai hubungan yang sangat baik antara  satu sama lain. WalLahu Aklam…
Gambar ayah dan ayah ngah ini saya ambil pada 18 April 2011  iaitu pada masa kami menziarahi ayah ngah di Wad Paliatif Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.
Allah SWT Maha Berkuasa Atas segala hamba-hambaNya! Ayah menyahut panggilan Ilahi pada 9 Jun 2011, manakala ayah ngah pada 24 Jun 2011....



No comments:

Post a Comment