Monday, August 1, 2011

Ayahanda yang dikasihi...

Al-Fatihah untuk ayahanda yang dikasihi…
Hari Khamis  9 Jun 2011 bersamaan 7 Rejab 1432H adalah satu tarikh yang tak dapat saya lupakan.  Ini kerana pada tarikh itu  ayahanda saya yang dikasihi Tn Hj Zakaria b Hj Sulaiman telah kembali ke RahmatuLlah pada kira-kira jam 8.30 pagi.  Almarhum ayahanda meninggal dunia setelah tidak sihat selama beberapa hari sebelum itu.  Almarhum  ayahanda menyahut panggilan Ilahi pada usia 82 tahun.   Almarhum meninggalkan bonda yang dikasihi, kami 10 beradik dan 42 orang cucunda. Ayahanda selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Pada saya, ayahanda yang dikasihi  adalah seorang yang sangat berjasa khususnya kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekeliling kami umumnya.  Kalau boleh saya menceritakan,  sejak dari mudanya, ayahanda adalah seorang yang sangat suka menuntut ilmu terutama ilmu Agama.  Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau belajar di sekolah pondok  di Benut Payung Kelantan dan juga  di Kedah Darul Aman.  Hajat beliau untuk menyambung pelajaran di Makkah al Mukarramah tidak kesampaian apabila sesampainya beliau di sana pada tahun 1955 telah berlaku keadaan ‘tegang’  dan peperangan antara Negara-negara Arab dan Israel menyebabkan rakyat negara luar tidak dibenarkan berada di negara tersebut.
Apabila ayahanda balik dari Makkah itu, beliau telah mendirikan rumah tangga pada usia 3o tahun dan membuka Sekolah Agama Rakyat di Kampung Jeliang ini bagi meneruskan perjuangannya menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.  Walaupun pada masa itu terdapat berbagai tawaran untuk beliau berkhidmat dengan kerajaan seperti  menjadi Kadi dan guru agama, namun ayahanda lebih berminat untuk membuka sekolah agama dalam visinya menyampaikan risalah dan dakwah Islamiah kepada masyarakat di samping bekerja sendiri untuk menyara diri dan keluarganya.
Begitulah kehidupan ayahanda yang dikasihi, pada sebelah pagi beliau menjadikan kebun dan sawah sebagai tempat perjuangannya, sebelah petang beliau akan meneruskan tugas mendidik anak bangsa mengenal agama Islam yang suci di ‘Sekolah Arab’nya  dan sebelah malamnya pula beliau akan mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau bagi menyampaikan ilmu  agama kepada masyarakat kerana beliau dilantik sebagai Guru Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Selain itu ayahanda merupakan imam di masjid dan merupakan pakar rujuk berkaitan ilmu agama kepada  masyarakat sekeliling.
Perjuangan ayahanda  di sekolah agama rakyat yang dikenali  juga Madarsah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang selama hampir 40 tahun itu diteruskan pula di SMA Maahad Al-Mizan apabila sekolah al Mizan itu ditubuhkan pada tahun 1995.  Ayahanda menjadi pengasas dan pengetuanya yang pertama.  Waktu itu ayahanda saya sudah pun berusia 67 tahun, namun perjuangannya sukar ditandingi. Segala perit getir  dilalui dengan tabah. Beliau bukan sahaja sebagai pengetua tetapi juga sebagai ‘tukang kebun’, ‘pencuci bilik air’ atau apa sahaja tugas yang perlu yang mampu dilakukan bagi ‘menghidupkan’ sekolah menengah agama itu pada peringkat awalnya.  Saya masih ingat, mana ada pengetua yang ‘gaji’nya lebih rendah berbanding guru-guru-guru biasa di sekolahnya.  Tetapi itu ada pada yang dikasihi ayahanda saya.  Beliau membayar gaji guru melebihi gajinya sendiri semata-mata kerana hendakkan guru-guru muda itu kekal mengajar di situ. Namun segala kesusahan dan ‘pahit maung’  beliau terubat apabila orang ramai dan masyarakat luar terus memberi  sokongan dengan memberi  bantuan kewangan termasuk membeli ‘wakaf kaki’  dan menghantar anak-anak untuk belajar  ke sekolah tersebut. 
Ayahanda saya meletakkan jawatan sebagai pengetua pada tahun 2001 apabila beliau merasa tidak mampu meneruskan tugas yang sangat mencabar itu berbanding usianya.  Lagi pun beliau sudah nampak penggantinya iaitu al fadzil ustaz Hj  Megat Radzuan yang baru bersara dari jawatan kerajaan pada masa itu. Selepas itu, ayahanda masih menerus tugas  sebagai seorang guru biasa di sekolah tersebut sehinggalah pada tahun 2003.  Selain daripada itu ayahanda meneruskan tugas  dakwahnya  dan memimpin orang ramai  mengenali  ilmu Islam apabila beliau menjadi  salah seorang tenaga pengajar di Pondok AlRidzuan Kpg Jalan Badak dan juga mengajar di masjid Jeliang sehinggalah ke akhir hayatnya.
Sesungguhnya saya sangat berbangga mempunyai seorang ayahanda seperti beliau.  Beliau merupakan seorang yang tegas tetapi sangat menyayangi anak-anaknya. Kesemua kami diberi pendidikan  yang secukupnya setakat mana yang kami mampu.  Tidak pernah ada alasan ‘tidak ada duit’ untuk belajar. Pergilah menuntut ilmu setakat mana kami nak pergi.  Beliau akan sentiasa mengusahakan mengikut kemampuannya. AlhamduliLlah berkat dari usaha dan doanya, tujuh dari sepuluh orang anaknya ‘graduat’ dari universiti-universiti tempatan.  Beliau tidak meninggalkan harta yang banyak, tetapi beliau meninggalkan anak-anaknya yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan….
Antara kenangan manis kejayaan ayahanda saya yang dapat saya rasakan adalah apabila beliau dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal  Hijrah Negeri Perak pada tahun 1999.  Majlis diadakan di dewan banquet bangunan Kerajaan Negeri Perak dan anugerah itu disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perak.  Gambar di bawah kenang-kenangan sewaktu saya mengiringi ayahanda ke dewan banquet itu.




Saya masih teringat satu ucapan ayahanda  di majlis perpisahannya  di Maahad Al Mizan pada tahun 2003, bahawa sebiji kelapa tua, kalau dimakan akan memberi  santan yang pekat dan berkhasiat, dan kalau ditanam akan menjadi benih dan akan tumbuh sebagai pokok baru yang subur, dan kalau boleh beliau nak menjadi seumpama ‘kelapa tua’ yang banyak menafaatnya kepada manusia keseluruhannya itu. Dengan kata lain, hidup kita ini biarlah banyak membuat jasa dan berguna kepada orang orang lain.   Alhamdulillah,  ayahanda telah pun dapat memberi  sumbangan yang besar kepada ahli keluarganya dan memberi menafaat kepada masyarakat sekelilingnya.
Sekarang apabila ayahanda saya sudah tiada, saya sangat ‘terasa sayu’… lebih-lebih lagi apabila ketika pergi solat Jumaat ke masjid.  Memang telah menjadi kebiasaan saya sejak lebih 10 tahun ini, saya akan mengambil beliau untuk bersolat Jumaat di masjid dan menghantarnya ke rumah semula selepas solat itu. Tetapi sekarang saya akan keseorangan tanpa beliau di sebelah untuk solat ke masjid itu…
Semoga Allah SWT melimpahkan Keredhaan dan Syurga Nya kepada Roh ayahanda yang dikasihi, Amin ya Rabbul Alamin!



1 comment:

  1. Anda Bosan Menjadi Pemain Dan Ingin Menjadi Bandar??? Temukan Solusinya Hanya Di PesonaQQ.com

    Penawaran Special Dari PesonaQQ Untuk Anda Yang Bergabung Hari Ini Juga :

    =>> Bonus Turnover 0.3% - 0.5% (Perhari)
    =>> Bonus Referensi 20% (Seumur Hidup)

    Keuntungan Anda Yang Bergabung Bersama Kami Di PesonaQQ :

    *Data Anda Aman Bersama Kami
    *Pelayanan Customer Service Yang Ramah 24/7
    *Tersedia 8 Permainan Dalam 1 Web Yang Sesuai Dengan Skill Anda (Poker, Domino QQ, Capsa Susun, Adu Q, Bandar Q & Bandar Poker)
    *Bonus TURNOVER Yang Melimpah & Bonus REFERENSI Yang Berlaku Seumur Hidup
    *Hanya Dengan 1 Akun Anda Sudah Bisa Bermain Semua Game Di PesonaQQ.com

    Kalau Bukan Sekarang Kapan Lagi???

    Ayok Tunjukkan Skill Anda Sekarang Juga, Hanya Di PesonaQQ.

    ReplyDelete