Sunday, September 11, 2011

Perjumpaan Hari Raya Cucu Pandak Leman penuh gemilang.


Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri bagi keluarga cucu-cucu Al marhum Tn Hj.  Pandak Leman yang dilangsungkan pada hari raya ke-2 bersamaan 31 Ogos 2011 berjalan dengan penuh berjaya dan gemilang. Majlis ini yang diadakan di perkarangan rumah saya bermula mulai jam 9.00 pagi dan bersurai pada jam 1.30 petang. Kehadiran cucu-cucu Allahyarham Tn. Hj. Pandak Leman serta keluarga masing-masing sangat menggalakkan. Mengikut kiraan saya seramai 167 orang hadir yang terdiri dan cucu, cicit dan piut. Mereka datang ke majlis itu sementelah mereka berada di kampung kerana berhari raya.

Antara objektif perjumpaan kami adalah mengumpulkan cucu-cucu Pandak Leman agar kami saling mengenali ahli keluarga masing-masing lebih-lebih setelah kesemua anak-anak Tn Hj Pandak Leman telah meninggal dunia. Kami mahu semua kami, lebih-lebihnya generasi cicit-cicit Pandak Leman mengetahui siapa ahli keluarga kami.


Majlis bermula dengan semua kami bertahlil untuk arwah ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selepas itu diadakan sesi perbincangan dan ucapan-ucapan. Kemudian semua cucu-cucu pandak Leman tampil ke hadapan memperkenalkan ahli keluarga masing-masing. Setiap cucu Pandak Leman kena menyatakan alamat tempat tinggal dan nama anak-anaknya serta isteri atau suami masing-masing.


Di dalam ucapan-ucapan itu, beberapa keputusan dicapai. Antara yang penting ialah melantik ahli Jawatankuasa keluarga cucu Pandak Leman, bercadang mengadakan perhimpunan seperti itu setiap tahun dan menetapkan yuran tahunan bagi setiap keluarga.

Sesungguhnya majlis pada hari itu amat berjaya dan bermakna bagi kami. Kejayaannya di luar dugaan saya. Ia telah menyatukan kami sepupu-sepupu walaupun tinggal di serata negeri di Malaysia ini.
Berikut antara koleksi gambar-gambar ketika majlis itu berlangsung.
















No comments:

Post a Comment