Sunday, October 10, 2010

Kenangan Lama.


Cuba perhatikan betul-betul gambar di atas.  Rumah siapa tu?  Kalau bukan rumah, bangunan apa?  Di manakah bangunan itu?  Adakah lagi bangunan tersebut?

Tak perasan?   Betul lah kome ni...Memang kome mudah lupa!

Inilah Madarsah (Surau) Jalan Badak yang lama.....  

Di Madarsah inilah kita di’besar’kan.  Di sinilah kita hadir saban hari untuk menunaikan sembahyang jumaah.  Di sinilah kita berjumpa setiap hari dengan Tok Hj Pandak Leman, Ayah Cu,  Ayah Ngah, Ayah We, Tok Hj. Ibrahim, Tok Hj. Dollah, Ucu Ya dan lain-lain...  Memang masa itu jumaah surau ini  ramai betul. Saya masih ingat, kalau lepas sembahyang Maghrib malam Jumaat ada ratib (tahlil)... ratibnya sangat kuat, macam nak runtuh melesah ini... deme kata kedengor sampai Ulu Jeliang!

Kalau di bulan puasa pula, di madarsah inilah pusat aktiviti orang-orang  kampung Jalan Badak. Masa tu bukan ada pasar Ramadhan macam sekarang...Sejak dari waktu zohor lagi mereka dah berkumpul buat moreh berbuka puasa. Masak kanji... Di sebelah madarsah ini ada bangsal dengan tunku dan kawah yang besar.  Bila jam pukul 5 petang pulak, ramai budak-budak datang ke madarsah ini dengan membawa bekas tuperware untuk mengambil kanji bawa balik ke rumah.  Tapi waktu berbuka puasa datang lagi... Sebelah malamnya pula lagi seronok, sembahyang tarawih... selawat sekuat hati... memang seronok!  Masa itu belum ada elektrik. Pasang lampu geslin je... Sekali sekala terdengar suara  Ayah Ngah latah kerana diusik dek Ucu Ya!

Madarsah Jalan Badak ini didirikan sejak tahun 50 han lagi. Bangunan bertiang ini kemudian didinding di bawahnya pada tahun 80 han.  Tanah tapak surau ini diwakafkan oleh almarhum Tok Hj. Pandak Leman.  Semoga Allah memberi ganjaran sedekah jariah berterusan kepada rohnya! Amin!  

Gambar surau di atas saya ambil pada tahun 1996. Pada masa itu, surau baru sedang dibina disebelahnya. Surau baru ini merupakan bangunan setingkat yang diperbuat dari batu didirikan oleh Jabatan Agama Islam Perak untuk kegunaan orang kampung bersama pelajar-pelajar lelaki Al-Mizan.

Bangunan surau yang lama itu pula telah dipindahkan ke Pondok Al Ridzuan Jalan Badak.  Kalau kome pergi ke Pondok Al Ridzuan, tengoklah bangunan surau tersebut masih tersegam berdiri dan digunakan sebagai penginapan penghuni pondok...

Bangunan surau baru sedang dalam pembinaan. Surau lama belum dipindahkan
lagi.. Gambar tahun 1996







1 comment:

  1. اللهم ارحمهم وعافهم واعف عنهم والحقهم مع الصالحين

    ReplyDelete